19 August 2009

UMNO terperangkap!

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan tanggapan bahawa Kedah meniru model pentadbiran kerajaan negeri Kelantan. Kedah, katanya, ada caranya yang tersendiri dalam mentadbir kerajaan berdasarkan beberapa faktor seperti budaya, majoriti kaum, sosial ekonomi, geografi dan amalan rakyat.

"Kita tidak menjadikan Kelantan atau mana-mana negeri dalam Malaysia sebagai model pentadbiran kerana terdapat beberapa faktor penting yang tidak sama," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pedu, Dato' Seri Mahdzir Khalid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-12.

Dalam pertanyaannya asal Mahdzir ingin tahu sama ada kerajaan pimpinan PAS menjadikan Kelantan sebagai model dalam mentadbir kerajaan negeri.

Dalam soalan tersebut juga ditanya bilakah konsep berkenaan akan dilaksanakan? Apakah kerajaan negeri telah membuat kajian terhadap impak kepada kepada 'keputusan' meniru model dari Kelantan itu? Apakah ciri-ciri yang diambilkira bagi melaksanakan konsep berkenaan?

Menteri Besar dengan tegas menjawab, "Tidak!" Tercengang sejurus Adun-Adun BN. "Oleh kerana jawapannya tidak, maka saya tidak perlu menjawab soalan berikutnya."

Apabila Mahdzir mengajukan soalan tambahan barulah Ustaz Azizan memberi penjelasan. Pentadbiran negeri Kedah berjalan dengan stailnya yang tersendiri dalam fokus yang terbaik untuk rakyat dengan meneruskan perancangan yang dibuat kerja dahulu, memperbaikinya dan menambah program baru.

Menteri Besar pun boleh menghidu pencak soalan yang berbaur tipu muslihat. Soalan diajukan sebenarnya lebih kepada usaha memerangkap PAS, berhubung isu bukan Melayu di negeri ini. Sudah tentu BN berharap jawapan yang diberikan ialah 'Ya' kerana ia boleh dimanipulasi habis-habisan dalam usaha terdesak mereka meraih kembali sokongan bukan Melayu. BN gagal lagi.

Di Kedah, kekuatan PAS dan Umno adalah seimbang. Kata Sanusi Junid '3P'. Di mana ada padi di situ ada pondok, di mana ada pondok di situ ada PAS. Cuma lebih Umno dapat memerintah Kedah selama 50 tahun kerana undi bukan Melayu memihak kepada mereka. Sekali undi bukan Melayu beralih pada PAS, tumbanglah BN. Umno sedar, macam mana kuat sekalipun mereka bekerja memperkasa parti, tapi kalau bukan Melayu tak sokong dalam pilihan raya, harapan tawan Kedah jadi mimpi di tengahari.

BN juga ada mencuba membangkitkan kebencian bukan Melayu terhadap kerajaan melalui kaedah 'Trojan Horse'. Iaitu menggunakan juhalak tunggangan mereka dalam pentadbiran kerajaan tempatan bagi melaksanakan agenda-agenda politik BN, untuk membangkitkan kemarahan bukan Melayu.

Isu perobohan pusat babi dan cubaan bertindak terhadap kuil di Jalan Pegawai adalah antara agendanya. Pusat babi musnah, tapi kemarahan bukan Melayu dapat dibendung dengan alternatif lebih baik, sedangkan imej kerajaan di kalangan orang Melayu naik menjulang. Maknanya mereka gagal juga. Isu cubaan bertindak terhadap kuil dapat dihidu dari awal. Konspirasi mereka melalui 'Trojan Horse' gagal.

Walaupun setakat ini BN Kedah masih gagal memanipulasi situasi dan isu untuk menarik sokongan bukan Melayu tapi usaha mereka berpijak kepada realiti, kerana sedar pentingnya undi bukan Melayu.

-Kedahlanie

No comments:

Post a Comment